Bateri merupakan antara komponen penting pengguna komputer riba
khususnya bagi mereka yang kerap melakukan tugas atau melayari Internet
ketika berada diluar rumah atau tempat yang tidak mempunyai soket
elektrik. Namun, seperti komponen komputer yang lain, bateri turut
mempunyai penyusutan dalam tempoh hayatnya dan amat jarang sekali
prestasi bateri kekal maksimum terutama bila telah digunakan dalam
jangka masa yang lama.
Antara tips yang biasa didengar untuk memanjangkan tempoh hayat
bateri adalah dengan mengeluarkan bateri dari slot komputer riba apabila
komputer disambungkan kepada soket elektrik. Namun, tanpa mengetahui
maklumat seperti tempoh hayat dan kapasiti bateri, tindakan ini
dikhuatiri akan mendatangkan kesan lain pada komponen komputer riba.
Kini, dengan menggunakan perisian BatteryCare, anda boleh mengetahui
tempoh hayat serta maklumat tenaga, rekod penggunaan, dan melakukan
kaliberasi bateri.
Melalui BatteryCare, perisian tersebut membawakan maklumat
penggunaan, jumlah tenaga, kapasiti dan tahap penggunaan. Dari aspek
kaliberasi, BatteryCare turut mencatatkan rekod kaliberasi tarikh dan
jumlah kaliberasi yang dilakukan.
BatteryCare yang ditawarkan secara percuma kepada pengguna Windows
ini turut dioptimasikan agar berfungsi mengikut pelan kuasa yang
ditetapkan oleh Windows seperti Balanced atau High Performance dan sokongan kepada pelan kuasa yang direka oleh pengguna.
Menariknya, BatteryCare turut didatangkan dengan fungsi termometer
maya yang memaparkan suhu komponen komputer seperti cakera keras dan CPU
dengan baik sekali.
Bagi anda yang ingin lebih kawalan dan maklumat mengenai hayat bateri
komputer riba, anda mungkin boleh mencuba perisian ini dengan memuat turun BatteryCare hari ini.
No comments:
Post a Comment